5 Bahasa Yang Boleh Dipelajari Untuk Buat Anda Lebih Menonjol. _CompAsia Malaysia

Bagi semua yang pasang niat untuk belajar bahasa kedua (atau ketiga), rata-rata pasti memilih bahasa Inggeris sebagai pilihan pertama - dan pasti ianya untuk alasan yang tersendiri. Dianggap sebagai bahasa diplomasi, perniagaan dan budaya popular, bahasa Inggeris kini dituturkan oleh kira-kira 1.5 bilion orang, sehinggakan ia dianggap sebagai “bahasa dunia”. 


Tetapi selain daripada bahasa tersebut, tahukah anda bahawa ada banyak bahasa lain yang boleh dipelajari yang pasti buat anda lebih menonjol? Baca artikel di bawah jika anda ingin tahu lebih lanjut!


Bahasa Mandarin

Bahasa Mandarin merupakan bahasa yang banyak dipakai di seluruh dunia - dijangkakan lebih daripada 1.2 bilion orang gunakan bahasa itu, jadi tidak hairanlah jika ia dimasukkan dalam senarai ini. 

Walaupun bahasa Mandarin dituturkan dalam pelbagai dialek, ia masih menggunakan sistem penulisan yang sama. Jadi biarpun ada perbezaan dialek, anda masih dapat berkomunikasi dengan penutur dialek lain melalui penulisan. 

Ingat: walaupun sebutannya agak kompleks bagi sesetengah orang, bahasa Mandarin mempunyai struktur tatabahasa yang sangat mudah dan tidak mempunyai konjugasi kata kerja atau perbezaan antara jantina. Paling penting, kalau anda boleh bertutur bahasa ini, ia pasti meluaskan peluang pekerjaan anda!

 

Bahasa Arab

Memang tidak dapat dinafikan bahawa bahasa Arab adalah bahasa yang sangat indah, namun ia sukar untuk dipelajari oleh penutur bahasa lain terutamanya bahasa Inggeris. Sebahagiannya sebab ia bergantung kepada di mana ia dituturkan. Sebagai contoh, penutur bahasa tersebut yang berasal dari Mesir mungkin tidak memahami penutur dari Algeria atau sebaliknya.

Jika anda ingin belajar bahasa ini, kami sarankan anda mengambil program Modern Standard Arabic, atau MSA. Ia merupakan versi standard yang diajar di seluruh dunia Arab, dan pasti memudahkan peluang kerjaya anda dalam sektor kerajaan, perniagaan dan kewartawanan di serata dunia.

Selain itu, jika anda ingin melancong ke mana-mana negara yang menggunakan bahasa Arab sebagai bahasa kebangsaan, anda dinasihatkan untuk belajar dialek bagi memudahkan perjalanan dan mendapatkan kawan baru. Antara dialek yang popular adalah Mesir, Levantine, dan Afrika Utara.

 

Bahasa Korea

Jika anda ingin tahu, bahasa Korea merupakan bahasa ke-18 paling famous di seluruh dunia, di mana terdapat lebih daripada 75 juta orang bertutur menggunakan bahasa ini. Dengan pengaruh budaya K-pop dan drama romantik yang semakin meluas, pastinya bahasa tersebut akan menjadi lebih berpengaruh pada tahun-tahun mendatang.

Bahasa Korea boleh juga dianggap sebagai alternatif selain bahasa Mandarin kerana ia lebih mudah dan lebih logik. Abjad bahasa Korea atau Hangul hanya mempunyai 24 huruf, dan ditulis untuk mencerminkan bagaimana ia disebut, menjadikannya salah satu bahasa yang paling mudah untuk belajar menulis.

Keupayaan bertutur bahasa ini juga pasti sangat berguna kalau anda ingin mencari peluang pekerjaan di Korea Selatan atau menyanyi lagu BTS kat pusat karaoke.

 

Bahasa Jepun

Pasti ada yang ingat bahasa Jepun tidak praktikal untuk dipelajari sebab ia hanya boleh digunapakai di negara matahari terbit itu, betul tak? Lebih-lebih lagi, dengan tiga sistem penulisan, tatabahasa yang agak kompleks dan tiada bahasa yang hampir dengan linguistiknya, bahasa Jepun merupakan salah satu bahasa yang sangat susah untuk dipelajari.

Tapi, alasan untuk belajar bahasa Jepun adalah sangat mudah! Tanya sahaja mana-mana kaki travel, pasti negara Jepun ada dalam bucket list mereka. Jepun merupakan destinasi pelancongan yang sangat popular disebabkan oleh sejarahnya yang unik, tapi penggunaan bahasa Inggeris masyarakat kat sana adalah terhad. Jadi, kalau anda boleh berinteraksi dalam bahasa Jepun, baru up sikit keyakinan!

Lebih alasan untuk belajar bahasa Jepun? Ia merupakan bahasa ketiga yang paling banyak digunakan di internet, jadi anda pasti boleh standout berbanding orang lain kalau anda boleh bertutur bahasa tersebut!

 

Bahasa Perancis

Bahasa romantis ini merupakan bahasa asing kedua yang paling banyak dipelajari selepas bahasa Inggeris dengan lebih daripada 300 juta penutur di serata dunia. Ia diangkat sebagai bahasa rasmi di 29 buah negara termasuk Tunisia, Senegal dan Switzerland - yang pasti memudahkan anda berkomunikasi dengan penduduk kat sana.

Pasti ramai yang tak tahu bahawa bahasa Perancis adalah bahasa Romawi, yang bermaksud ia berkait rapat dengan bahasa Itali, Portugis, Sepanyol serta Romania, jadi kalau anda belajar bahasa itu ia pasti akan memudahkan anda untuk menguasai bahasa-bahasa lain juga. 

Nota tambahan: anda sudah fasih berbahasa Inggeris? Disebabkan persamaan antara bahasa ini, ia akan memudahkan anda mendominasi bahasa Perancis.

 

Nota akhir

Memilih untuk belajar bahasa asing harus disertakan dengan minat - yang akan buat anda selalu bermotivasi untuk belajar dan berlatih tidak kira apa cabaran yang mungkin anda hadapi. Tidak kira samada anda ingin mencari kawan di Korea, atau menetap di Perancis, memang tidak dapat dinafikan bahawa kerja keras itu akan membuka pelbagai peluang kerjaya.

Dengan adanya smartphone atau tablet, anda boleh daftar kelas online dan tidak perlu lagi meredah kesesakan trafik untuk pergi ke pusat bahasa. Paling best, anda boleh muat turun dan tak perlu cetak bahan bacaan. Jimat, kan?

Bercakap pasal berjimat ni, shop.compasia menawarkan pelbagai gajet terpakai yang baik seperti baru pada harga yang sangat berpatutan. Jadi, jangan ter-miss untuk dapatkan gajet tersebut! Mudah kerja anda untuk belajar bahasa baru nanti. Au revoir pour l’instant!

Leave a comment

All comments are moderated before being published